Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibuku memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatanku sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongiku. Aku perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan kalian.
Cerita ini bermula ketika aku masih kecil. Aku lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.
Pembohongan pertama...
Sebagai anak yang masih kecil, aku sering saja merungut. Aku menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untukku. Sambil memindahkan nasi ke mangkukku, ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak lapar."
Pembohongan kedua...
Ketika aku mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik.
Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu aku memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang aku makan tadi..
Aku sedih melihat ibu seperti itu.. Hatiku tersentuh lalu dengan menggunakan sudu aku memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan."
Pembohongan ketiga...
Di usia awal remaja, aku masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahanku,abang dan kakak.Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi aku terjaga dari tidur. Aku lihat ibu membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali aku melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Aku berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi."
Pembohongan keempat...
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemaniku pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menungguku di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar aku lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambutku dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih saying ibu yang jauh lebih kental.Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, aku segera memberikan cawanku itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!"
Pembohongan kelima...
Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki."
Pembohongan keenam...
Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit."
Pembohongan ketujuh...
Setelah tamat pengajian di universiti, aku melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajianku di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu aku sudahi dengan cemerlang,kemudian aku pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajianku juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, aku berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandanganku, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakanku. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang."
Pembohongan kelapan...
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam aku menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Aku yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.
Aku melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajahku dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkanku sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya..Aku dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
Aku menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Aku cium tangan ibu kemudian aku kucup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hatiku terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit."
alimulfaqih : Ibu....maafkanku...aku sayangkan ibu...!!!aku berjanji akan jadi anakmu yang baik...
No comments:
Post a Comment